BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 6 April – Pada 5 April 2019 jam 2.37 pagi, keanggotaan daripada Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas telah berhasil menahan sebuah kenderaan yang mencurigakan kerana didapati melanggar peraturan dijalanraya. 

Semasa pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan tersebut, Pihak Polis telah menemukan 1 pili bomba beserta 4 penutup pili kepunyaan Jabatan Bomba dan Penyelamat tersimpan didalam kenderaan tersebut. Pemandu berkenaan telah pun ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Balai Polis Pusat BSB untuk dijalankan siasatan. 

Suspek adalah seorang lelaki warga tempatan bernama Mohd Khairi bin Abd Salam berumur 34 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan. Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, BSB pada 6 April 2017 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Curi. 

Pihak Mahkamah telah bersetuju bagi permohonan reman ke atas tertuduh sehingga 11 April 2019 bagi menjalani siasatan lanjut akan penglibatan dengan laporan kes-kes yang lain. 

Di kesempatan ini, pihak Polis sekali lagi menegaskan kepada orang ramai agar jangan sekali-kali terlibat di dalam kegiatan jenayah. Di samping itu juga,  jangan sesekali membuat urus niaga dengan barang-barang yang mencurigakan terutama sekali yang melibatkan harta benda kerajaan kerana awda boleh berdepan dengan pertuduhan subahat di bawah Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

POLIS PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI