BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 20 Nov 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Balai Polis Kg Ayer telah menerima satu laporan kecurian di sebuah rumah kawasan Kampong Bakut Berumput, Kampong Ayer, Bandar Seri Begawan.
Suspek bernama Heru Setiawan, 37 tahun warganegara Indonesia tidak bekerja dipercayai telah memasuki rumah yang tidak berpenghuni lalu melakukan curi.
Perbuatan suspek tersebut berjaya dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup CCTV dan daripada siasatan pihak polis suspek juga mengakui telah memasuki rumah tersebut sebanyak dua kali pada tahun ini dengan melakukan curi terhadap kabel-kabel wayar serta alat penghawa dingin.
Dalam pada itu, suspek juga didapati tidak mempunyai pas pekerja dan dokumen yang sah untuk menetap di negara ini.
Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan pada 20 November 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 457 Bersembunyi untuk menceroboh rumah atau memecah rumah di waktu malam, Seksyen 451 Pencerobohan rumah untuk melakukan kesalahan, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan Seksyen 15 (2)(6) Akta Imigresen iaitu tinggal lebih masa dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 4 tahun 8 bulan serta 6 kali sebatan.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika meninggalkan rumah dan dinasihatkan untuk tidak meninggalkan sebarang harta benda yang berharga di dalam rumah yang lama tidak didiami bagi mengelakkan dari berlakunya kejadian-kejadian tidak diingini seperti curi.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
