TUTONG, Selasa 4 Ogos 2020 – Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan seorang suspek lelaki dipercayai terlibat dengan kegiatan curi kabel milik harta benda kerajaan di beberapa kawasan di Daerah Tutong.
Suspek merupakan seorang lelaki penduduk tetap berumur 36 tahun telah ditahan oleh Polis bertugas semasa suspek sedang leka menggali kabel di salah satu tiang elektrik di kawasan Lebuh Raya Telisai Tutong.
Beberapa peralatan dan perkakas untuk kegiatan mencuri kabel itu telah dirampas dan dijadikan bahan bukti kertas penyiasatan. Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Tutong bersama barang bukti bagi menjalani siasatan lanjut.

Melakukan kegiatan curi boleh didakwa di bawah Seksyen 379, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 di mana hukum pemenjaraan tidak melebihi 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan di bawah Seksyen 427 melakukan kerosakan atas harta benda boleh dihukum pemenjaraan tidak melebihi 5 tahun dan sebatan atau kedua-duanya sekali.
Pasukan Polis Diraja Brunei menyarankan kepada orang ramai untuk sentiasa mengongsikan sebarang maklumat yang melibatkan kegiatan jenayah melalui talian 993 ataupun ke Balai-Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
