BRUNEI MUARA, Jumaat 3 Jan 2020 – Dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul bagi memastikan kawasan persekitaran kampung dalam keadaan aman dan selamat, sejumlah ahli Pengawasan Kejiranan (PK) telah menjalankan pemantauan bersama anggota polis bertugas melalui rondaan pencegahan jenayah di beberapa kawasan yang dianggap sering berlaku kejadian jenayah.
Semangat yang dipamerkan oleh ahli-ahli PK yang terdiri daripada ketua-ketua dan anak-anak kampung membuktikan bahawa keperihatinan bagi memastikan persekitaran kampung ditanai dengan penuh kesungguhan.
PK yang menjalankan rondaan terdiri daripada Kg Lumapas ‘A’ & ‘B’, Kg Orang Kaya Besar Imas (OKBI) Mukim Berakas, Kg Bengkurong, Kg Sinarubai, Kg Burung Lepas, Kg Masin, Kg Mentiri serta Kg Sengkurong A.

Rondaan yang dilaksanakan dengan berjalan kaki dan menggunakan kenderaan tersebut menyusuri beberapa persimpangan rumah-rumah kediaman, bangunan premis perniagaan, bangunan komersil, stesen-stesen jana kuasa serta kawasan persekolahan.
Rondaan yang berakhir pada sekitar lewat malam tersebut tidak ada menemukan sebarang aktiviti-aktiviti yang mencurigakan mahupun kegiatan jenayah.
Usaha pada tahun baru 2020 ini akan dikembangkan dan dipertingkatkan lagi bagi menarik para belia-belia untuk ikut serta di dalam program PK ini dalam objektif utama untuk menanamkan sikap tanggungjawab dan patriotik dalam diri mereka akan pentingnya menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
