BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad 19 April 2020 – Di saat negara masih mengalami hambatan pandemik COVID-19 ini, pelbagai usaha masih diterapkan oleh pihak kerajaan bagi memupuk kesedaran orang ramai akan betapa pentingnya larangan terhadap sebarang aktiviti perhimpunan serta penjarakkan sosial.
Arahan yang dikeluarkan adalah harus dipatuhi dan diikuti secara tertib bagi membantu kerajaan menanganinya dengan lebih efektif dan berkesan. Saranan dan nasihat pihak kerajaan ini juga amatlah penting bagi memastikan rantai penularan wabak ini ditamatkan dan terputus dari jauh lebih merebak di kalangan orang ramai.
Walau bagaimanapun amat mendukacitakan, bila mana terdapat segelintir orang ramai yang masih memandang ringan dan remeh akan larangan-larangan kerajaan terhadap situasi yang dihadapi negara pada masa ini.
Maklumat terkini yang diperolehi ialah berkenaan beberapa gambar yang telah tular di media sosial mempamerkan gambar lokasi suatu tempat taman rekreasi yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mengadakan aktiviti perkumpulan dan riadah. Ini merupakan sikap yang tidak bertanggungjawab dan sekaligus mencerminkan sikap ketidakpedulian terhadap usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam mengekang wabak COVID-19 ini.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa barangsiapa yang didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, jika sabit kesalahan, boleh membawa denda sehingga $10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali (kesalahan pertama), manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, jika sabit kesalahan boleh membawa denda sehingga $20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
