TUTONG – Pada 3 Mac 2019, hasil daripada maklumat serta risikan yang telah dikendalikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah Polis Tutong telah berjaya membuat satu serbuan ke atas kegiatan Sabung Ayam yang telah dijalankan di Kg. Guayan, Mukim Ukong, Tutong.

Dalam serbuan tersebut, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan 17 orang lelaki warga tempatan dan penduduk tetap berumur diantara 27 hingga 69 tahun serta merampas wang tunai berjumlah BND1,217.00 dipercayai digunakan sebagai wang taruhan bagi kegiatan sabung ayam tersebut. Beberapa barang bukti turut dirampas dan dibawa ke Balai Polis Tutong untuk siasatan lanjut. 

Pada hari ini, 20 Jun 2020  kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi dua (2) pertuduhan:- 

1. Seksyen 4(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka Penggal 28 iaitu menjadi pemilik atau penghuni atau menggunakan secara sementara atau sebaliknya menguruskan atau menggunakan sebuah tempat sebagai sebuah rumah perjudian terbuka. 

2. Di bawah Seksyen 6(1) Penggal yang sama iaitu siapa jua yang bermain dalam sebuah rumah perjudian terbuka adalah bersalah. Hukuman denda $2,500.00 dan Penjara selama 6 bulan. 

Kesemua suspek tidak mengaku bersalah dan sebutan kes selanjutnya akan diadakan pada 4 Julai 2020 @ 9.00 pagi. Mahkamah telah melepaskan kesemua suspek dengan ikat jamin mahkamah sebanyak BND2,000.00 ATAU seorang penjamin. JIka gagal membuat pembayaran suspek akan direman di Penjara Jerudong. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menyeru kepada orang ramai agar dapat menyalurkan sebarang maklumat yang melibatkan kegiatan jenayah melalui talian 993 ataupun kepada Balai-Balai Polis yang berdekatan.  

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI