LAMUNIN, Khamis 21 Mac 2019 – Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu operasi sepadu berhubung aktiviti curi kayu gaharu di kawasan rumah kediaman di alamat 319, Kg Bukit Rumpau Rambai, Tutong. 

Serbuan berkenaan hasil kerjasama Daerah Polis Tutong bersama Pasukan Simpanan C Kompeni, PPDB dan Jabatan Perhutanan, Bahagian Penguatkuasaan. 

Hasil dari serbuan tersebut seorang lelaki warganegara tempatan telah berjaya ditahan bernama Nazri bin Paya berumur 33 tahun tidak mempunyai pekerjaan dipercayai terlibat dengan aktiviti curi kayu gaharu. 

Siasatan juga mendapati terdapat pecahan kayu gaharu yang tersimpan di dalam rumah dan luar kawasan rumah suspek. Kesemua barang bukti dan suspek dibawa ke Balai Polis Lamunin bagi siasatan lanjut.  

Suspek akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 27 penggal 46 Akta Perhutanan dan jika sabit hukuman tertuduh akan didenda dan dipenjara selama tempoh 5 tahun. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menyeru dan menasihatkan kepada orang ramai agar tampil bagi mengongsikan dan memberikan sebarang maklumat bagi tujuan pencegahan, pembanterasan dan juga bagi menurunkan kadar jenayah di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI