BRUNEI-MUARA, Selasa, 24 Jun 2025 – Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat (USPPPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menjalankan satu serbuan di sebuah bilik hotel di kawasan Gadong, Bandar Seri Begawan, hasil maklumat orang awam berkaitan kegiatan tidak bermoral.
Serbuan yang dijalankan sekitar jam 7.45 malam semalam telah membawa kepada penahanan tiga (3) individu, iaitu seorang lelaki warganegara tempatan berusia 36 tahun dan dua wanita warganegara asing berusia 34 dan 48 tahun yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan pelacuran.
Kesemua suspek bersama barang-barang rampasan telah dibawa ke pejabat USPPPM untuk siasatan selanjutnya. Mereka disiasat di bawah Seksyen 294A Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 atas kesalahan menawarkan khidmat seks, yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 1 tahun dan denda tidak melebihi lima ribu ringgit.
PPDB menasihatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan maksiat atau tidak bermoral. Pihak polis juga mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan seumpama ini agar tindakan segera dan sewajarnya dapat diambil demi menjaga keamanan dan keharmonian negara.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
