BERAKAS, Khamis 26 Sept 2019 – Seorang wanita warga asing ditahan dalam satu operasi serbuan pada 26 September 2019. 

Risikan dan pemantauan yang dijalankan oleh keanggotaan Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB)  itu berhasil mensasarkan sebuah hotel di kawasan Anggerek Desa, Jalan Berakas yang telah dijadikan lokasi oleh wanita berkenaan bagi menjalankan kegiatan tidak bermoral iaitu menawarkan khidmat seks. 

Operasi tersebut berjaya menahan seorang warganegara Viet Nam bernama Tran Lam Linh berumur 27 tahun dan telah berada di negara ini sejak 16 September 2019 menggunakan pas pelawat. 

Hasil serbuan juga menemukan barang-barang bukti bagi tujuan penyiasatan dan pendakwaan seperti minyak pelincir, beberapa kepingan kondom serta wang tunai dipercayai hasil daripada khidmat yang diberikan. 

Siasatan juga mendapati kegiatan tidak bermoral ini dilakukan menggunakan aplikasi Wechat untuk meraih pelanggan-pelanggan suspek dengan tawaran harga BND$100. 

Suspek dan barang rampasan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut. 

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 294A kesalahan menawarkan khidmat seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang membawa hukuman denda tidak kurang $500 dan tidak melebihi $5000 dan juga penjara yang boleh mencapai tempoh satu tahun. 

Usaha sentiasa dikerah dan ditanai oleh PPDB dalam menjalankan tanggungjawab yang dipikul bagi tujuan membersihkan negara ini daripada segala gejala-gejala negatif dan kegiatan yang boleh meruntuhkan dan merosakkan maruah diri, nilai temadun dan nama baik negara. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI