BERAKAS, Isnin 4 Mei 2020 – Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu serbuan dan seterusnya membuat penahanan ke atas seorang wanita yang dipercayai melibatkan diri dengan kegiatan tidak bermoral. 

Serbuan yang dijalankan pada sekitar waktu tengah hari itu mensasarkan ke salah sebuah bilik penginapan, rumah tumpangan (resthouse) di Kampung Serusop di mana seorang wanita warganegara tempatan telah ditemui dipercayai ada menjalankan aktiviti memberikan khidmat seks. 

Pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian dan telah menemukan beberapa bukti bagi menyokong serta membantu pihak polis dalam menjalankan kertas penyiasatan atas perilaku yang dilakukan suspek. 

Suspek bernama Halimatussaadiah binti Hamdiah berumur 35 tahun, tidak mempunyai sebarang pekerjaan telah kerap kali menyewa di bilik penginapan berkenaan dipercayai bagi tujuan menjalankan aktiviti tersebut. 

Suspek kemudian dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk dijalankan siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman jenayah Penggal 22. 

Pasukan Polis Diraja Brunei memandang serius akan aktiviti sarang maksiat ini terutama sekali kepada pengendali – pengendali rumah sewa dan rumah tumpangan agar memastikan pihak berkenaan tidak ada melibatkan diri dalam aktiviti menawarkan khidmat seks dan sebagainya. 

Pihak Polis juga ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dalam sama-sama membanteras segala jenis kegiatan jenayah dan juga kegiatan yang tidak bermoral. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI