BRUNEI MUARA, Sabtu 20 Januari 2024 – Pada 18 Januari 2024, Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan tiga serbuan di tiga lokasi yang dipercayai melibatkan kegiatan tidak bermoral.
PPDB telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai ‘bapa ayam’ dan isterinya warganegara asing bersama empat orang wanita warga asing semasa menjalankan serbuan ke atas salah sebuah bilik penginapan di kawasan Gadong, Daerah Brunei dan Muara, tempat lelaki warga tempatan itu berkerja dan juga rumah lelaki tersebut di kawasan perumahan Kg. Rimba.
Suspek-suspek yang terlibat berumur lingkungan 22 dan 27 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral, iaitu menawarkan khidmat seks. Manakala suspek lelaki tersebut berumur 32 tahun. Kesemua suspek bersama barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.
Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan mendapati beberapa barang bukti, seperti beberapa kepingan kondom, minyak pelincir dan wang tunai di lokasi kejadian yang dipercayai untuk tujuan aktiviti tidak bermoral itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan di bawah Akta Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak Penggal 120.
Pihak polis ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.polis.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
