BRUNEI MUARA, Khamis 26 Okt 2023 – Unit Siasatan Penumpasan Perjudian, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu serbuan yang dipercayai melibatkan kegiatan tidak bermoral. 

Serbuan yang dijalankan pada 24 Oktober 2023 sekitar waktu malam itu mensasarkan ke sebuah rumah di kawasan Kg. Sg. Hanching, Berakas, di mana enam orang suspek ditahan iaitu wanita warganegara asing berumur sekitar 18-39 tahun dipercayai menjalankan aktiviti menawarkan khidmat seks. 

Beberapa suspek dipercayai lelaki warganegara tempatan & asing masih lagi dalam pencarian dan disyaki bertindak sebagai bapa ayam kepada suspek-suspek yang ditahan. 

Pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian turut menemukan bahan-bahan bukti seperti telefon bimbit, matawang Brunei dan asing yang dianggarkan berjumlah 1,700.00, kondom dan minyak pelincir di lokasi kejadian dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti tidak bermoral. 

Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah dan seterusnya dijalankan siasatan di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Pihak polis ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.polis.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb. 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​