BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 06 November 2025 – Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya membawa ke muka pengadilan satu kes melibatkan penipuan dan eksploitasi pekerja asing melalui buruh paksa di Negara Brunei Darussalam.

Mahkamah memutuskan sebanyak enam pertuduhan telah dikemukakan kepada Mahedi Hassan, Warganegara Bangladesh di bawah Seksyen 4 Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang 2024 di Mahkamah Tinggi. Defenden dibicarakan di Mahkamah Tinggi yang dibawa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Muizzah dihadapan Pesuruhjaya Kehakiman Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli. 

Tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan bagi kesalahan eksploitasi pekerja buruh di bawah Seksyen 4 Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang 2004 dan 5(1) Akta Anti-Pemerdagangan Orang Penggal 230. 

Setelah kes selesai dibicarakan di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan, defenden didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun dan didenda sebanyak BND$50,000.00. Sekiranya defendan gagal membayar dari tarikh direman pada 27 Februari 2025, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara 50 bulan serta 6 kali sebatan. 

PPDB ingin menasihati pemilik syarikat di negara ini untuk sentiasa amanah dan bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan pekerja, sama ada warga tempatan mahupun warga asing, serta mengelakkan mereka menjadi mangsa eksploitasi buruh.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI