LAMUNIN, Isnin 8 Julai 2019 – Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan siasatan ke atas seorang suspek lelaki yang dipercayai memiliki senjata api buatan sendiri.
Perkara ini terbongkar semasa pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) membuat serbuan ke sebuah rumah kediaman di No 5 Spg 11 Kg Birau, Tutong dan telah menemukan satu senjata api dipercayai buatan sendiri tersimpan di kawasan dapur rumah suspek. Suspek kemudian ditahan dan dibawa oleh pihak BKN untuk siasatan awal pihak berkenaan dan kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis bagi siasatan lanjut.


Suspek merupakan seorang warganegara tempatan bernama Izlin bin Haji Ismail berumur 44 tahun dan tidak bekerja. Berikutan dengan penemuan ini suspek akan dihadapkan ke Mahkamah bagi berdepan dengan kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen di bawah Seksyen 17(1) Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Penggal 58.
Jika sabit kesalahan, tertuduh akan dihukum penjara dalam suatu tempoh tidak kurang dari 5 tahun dan tidak melebihi dari 15 tahun serta tidak kurang dari 3 sebatan dan tidak lebih dari 12 sebatan .
Pasukan Polis Diraja Brunei menyeru kepada orang ramai supaya tidak memiliki, menyimpan atau membuat sebarang senjata api mahupun peluru yang mana ianya adalah merupakan kesalahan berat di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
