SUNGAI LIANG, Khamis 16 Jan 2020 – Seorang lelaki warga emas telah mengalami kecederaan hasil daripada pergelutan dengan seorang lelaki yang tidak dikenali dipercayai cuba untuk melakukan perbuatan jenayah di kawasan letak kereta, Bangunan Lim Kui Hong, Sungai Liang, Daerah Belait.
Berikutan insiden berkenaan, beberapa maklumat beserta gambar mangsa kejadian turut tular di media sosial menjelaskan mengenai kejadian rompakan dan saranan untuk berhati-hati apabila berada di kawasan premis berkenaan.
Sejurus menerima laporan tersebut yang berlaku pada 15 Januari 2020 sekitar jam 8.12 pagi, Balai Polis Sungai Liang segera menjalankan siasatan sehingga berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan bernama Sahrol Azren bin Roslee berumur 39 tahun tidak bekerja dipercayai dalang kepada insiden tersebut.
Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 392 (rompak) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Hasil daripada sebutan kes, Pihak Mahkamah telah mengarahkan suspek untuk menjalani penilaian kesihatan mental di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) selama 1 minggu bermula hari ini. Tarikh bagi sebutan kes selanjutnya pada 23 Januari 2020.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
