BRUNEI MUARA, Khamis 18 Jun 2020 – Seorang lelaki warga tempatan telah ditahan oleh pihak Polis atas kesalahan melakukan Kesalahan Dengan Sengaja Menyebabkan Cedera di bawah Seksyen 323 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan Menakutkan Secara Jenayah di bawah Seksyen 506 Penggal yang sama.
Suspek seorang warga tempatan berumur 32 tahun, bekerja sebagai Jurujual di Pasar Pelbagai Barangan Gadong.
Balai Polis Pusat telah menerima satu laporan daripada dua orang mangsa warga Bangladesh di mana pada 17/06/2020 kira-kira jam sekitar 1.30 pagi hingga 2.00 pagi bertempat di Pasar Pelbagai Barangan Gadong, kedua-dua mangsa pada waktu itu sedang menjalankan tugas membersihkan Pasar berkenaan dan tiba-tiba suspek telah mendatangi salah seorang mangsa dan meminta rokok serta wang.
Kemudian suspek bertindak menampar dan memukul mangsa pertama di bahagian muka. Selepas itu, suspek telah bertindak memukul mangsa kedua di bahagian muka dan menolak mangsa sehingga terjatuh. Kedua-dua mangsa merupakan petugas pembersih di Pasar Malam Pelbagai Barangan Gadong.
Pada hari yang sama, suspek juga telah melakukan jenayah ancaman terhadap dua orang anggota Polis yang bertugas di Pos Polis Pasar Pelbagai Barangan Gadong yang mana suspek telah menghantar rakaman suara (audio recording) melalui Aplikasi WhatsApp kepada salah seorang anggota polis berkenaan dengan mengatakan kata-kata yang berunsurkan ancaman dan dendam kerana anggota polis berkenaan telah membuat teguran kepada suspek semasa menjalankan tugas rondaan di kawasan Pasar Pelbagai Barangan Gadong.
Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada 18 Jun 2020 dan didakwa dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan dua pertuduhan di bawah Seksyen 506 penggal yang sama, yang mana suspek telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 26 bulan bermula hari ini di Penjara Jerudong.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
