TUTONG, Rabu 22 April 2020 – Sebanyak dua (2) kertas penyiasatan berhubung jenayah curi melibatkan seorang warganegara tempatan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan hari ini.
Kes-kes tersebut melibatkan kehilangan barangan seperti bateri kenderaan, bateri mudah alih, alat-alat pekakas spanar dan soket serta sangkar kayu bersama burungnya yang diletakkan di dalam garaj kereta dan luar rumah. Kedua-dua kejadian berlaku di Kg Telisai Danau dan Kg Telisai, Daerah Tutong.
Hasil daripada siasatan yang diperolehi daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa telah membantu siasatan sehingga tertangkapnya suspek bagi kes-kes ini.
Suspek bernama Mohammad Amirul Alif bin Ali berumur 32 tahun dan tidak memiliki sebarang pekerjaan.
Tertuduh telah mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah iaitu curi dan Pihak Mahkamah telah memutuskan bagi tertuduh dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 6 bulan di Penjara Maraburong bermula pada 22 April 2020.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengalu-alukan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat awam dalam membantu pihak polis membasmi kegiatan jenayah di kawasan kampung setempat dengan menyalurkan maklumat yang membolehkan tindakan dibuat sewajarnya.
Oleh yang demikian, sesiapa yang mengetahui atau mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang disarankan supaya melaporkannya di balai polis terdekat atau menghubungi ke talian kecemasan 993 serta mengongsikan maklumat ke laman sesawang di www.police.gov.bn dan instagram @upa.ppdb.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
