LAMUNIN, Sabtu 11 Mei 2019 – Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan siasatan ke atas seorang suspek lelaki yang dipercayai memiliki senjata api buatan sendiri. 

Perkara ini terbongkar semasa Pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) membuat serbuan ke sebuah rumah kediaman di kawasan Bengkuru Kg Kuala Ungar telah mendapati satu bungkusan yang mencurigakan berada di dalam sebuah kereta milik suspek tersebut dan suspek diserahkan ke pihak Balai Polis Lamunin. 

Suspek adalah seorang penduduk tetap bernama Michells Jackson Anak Awil, berumur 31 tahun dan tidak bekerja.

Suspek dihadapkan ke Mahkamah bagi berdepan dengan kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen di bawah Seksyen 17(1) Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Penggal 58. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh akan dihukum penjara dalam suatu tempoh tidak kurang dari 5 tahun dan tidak melebih dari 15 tahun serta sebatan tidak kurang dari 3 sebatan dan tidak lebih dari 12 sebatan. 

Hasil daripada perbicaraan di Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 15 Mei 2019, tertuduh telah dilepaskan dengan jaminan Mahkamah sebanyak BND$7000 atau 2 penjamin dan perbicaraan selanjutnya akan berlangsung pada 29 Mei 2019. 

Pihak Pasukan Polis Diraja Brunei menyeru kepada orang ramai supaya tidak memiliki, menyimpan  atau membuat sebarang senjata api mahupun peluru yang mana perkara ini adalah merupakan kesalahan berat di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI