BRUNEI MUARA, Isnin 10 Ogos 2020 – Pada 9 Ogos 2020 sekitar jam 7 malam, rondaan yang dijalankan secara berterusan melalui Operasi Sepadu di antara Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menemukan beberapa longgokkan kotak-kotak yang mencurigakan diletakkan di kawasan hutan belukar di Simpang 127 berdekatan industri, Kg Lumapas Daerah Brunei Muara.
Sejurus membuat pemeriksaan ke atas kotak-kotak tersebut telah mendapati ianya adalah barang-barang tegahan berupa rokok dan minuman keras.

Balai Polis Kg Ayer segera dihubungi bagi menjalankan siasatan awal terhadap penemuan tersebut. Sejumlah 430 katon rokok pelbagai jenama serta 36 botol minuman keras dirampas dan akan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Ekasis Diraja (JKED) bagi peralihan dan siasatan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) beserta agensi penguatkuasa undang-undang yang lain akan sentiasa komited dalam usaha membanteras, menjalankan risikan serta membuat pemantauan yang berterusan ke atas sebarang kegiatan-kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan-kawasan sempadan Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
