AHAD, 10 Nov 2019 – Kemalangan jalanraya boleh sahaja berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti kecuaian pengguna jalanraya sendiri, faktor kenderaan serta keadaan persekitaran. Usaha kerajaan sentiasa berterusan dan dikembangluaskan dalam memberikan pemberigaan berlandaskan konsep kesedaran (awareness) berupa taklimat, pameran , pengiklanan dan sebagainya kepada masyarakat awam agar lebih celik dan peka dengan isu keselamatan jalanraya.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam pada itu juga diberi mandat bagi melaksanakan beberapa tindakan seperti mengendalikan operasi sekatan-sekatan jalanraya, penguatkuasaan serta pendakwaan terhadap pesalah-pesalah pengguna jalanraya.
TUTONG – Mengubah suai kenderaan telah mencatatkan jumlah kesalahan tertinggi semasa operasi sekatan jalanraya yang dikendalikan oleh Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong dan Balai Polis Tutong pada 7 November 2019 yang lalu bertempat di kawasan Jalan Telamba Telisai Tutong.
12 kesalahan secara keseluruhan dikeluarkan tindakan kompaun seperti kesalahan mengubahsuai kenderaan dari asal, tayar kenderaan tidak selamat digunakan (keluar benang) dan tayar keluar dari mudguard.
LAMUNIN – 11 keanggotaan Balai Polis Lamunin diketuai oleh Inspektor Muhd Zulfadli bin Haji Awang Yusof telah mengendalikan operasi sekatan jalanraya di kawasan Kampung Batang Mitus, Lamunin.
Sebanyak 92 buah kenderaan telah diperiksa semasa sekatan tersebut dan mendapati 3 kesalahan kompaun dikeluarkan kepada pemandu atas kesalahan memasang tabir, pelekat plastik filem (tinted) serta hon kenderaan tidak berfungsi.
PPDB tidak akan kendur-kendur dalam melaksanakan tanggungjawab dalam melaksanakan operasi-operasi sedemikian secara berterusan bagi menjamin persekitaran yang selamat kepada pengguna jalan raya dan warga penduduk yang berpengetahuan dan bebas dari melanggar akta kesalahan lalulintas.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
