BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 9 Mei 2020 – Balai Polis Pusat BSB, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan satu operasi sekatan jalanraya sekitar jam 10 malam di kawasan Kg Menglait, Gadong. 

Mengetuai operasi pada malam tersebut, Pegawai Menguasa Balai Polis Pusat, Penolong Penguasa Polis (ASP) Dk Siti Munirah bte Pg Haji Damit beserta Penolong Pegawai Menguasa dan 18 orang anggota balai. 

Objektif operasi dijalankan adalah bertujuan bagi menguatkuasakan undang-undang Akta Lalulintas serta mendidik dan memberi teguran kepada orang ramai akan kepentingan etika pemanduan yang berhemah serta menanai perundangan yang perlu dipatuhi dan ikuti dalam sasaran untuk pengurangan kadar kesalahan-kesalahan lalulintas di negara ini. 

Daripada operasi sekatan pada malam tersebut, pihak polis telah berhasil menemukan serta mengambil tindakan kompaun kepada 7 orang pemandu bagi kesalahan cukai jalan mansuh, tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta lampu kenderaan tidak bernyala. Turut ditekankan ialah aktiviti berkonsepkan ‘Stop & Talk’ dan ‘Stop & Search’ kepada para-para pemandu bagi memastikan mereka tidak ada memiliki dan membawa barangan tegahan seperti rokok, minuman keras dan sebagainya. 

Pada lewat malam itu juga aktiviti ‘Stop & Talk’ dan ‘Stop & Search’ turut dilaratkan ke sepanjang kawasan Jalan Residency sehingga ke kawasan Bumbungan Dua Belas (12), Bandar Seri Begawan dan telah menemukan  beberapa orang individu yang tidak bertanggungjawab dan masih lagi didapati berkumpul dan melepak. Individu-individu berkenaan telah dibawa ke Balai Polis bagi mendapatkan penjelasan serta diberikan teguran dan amaran keras agar tidak mengulangi perkara tersebut.   

Justeru itu, PPDB ingin mengingatkan dan menekankan kepada orang awam agar sentiasa akur dan mematuhi akan larangan-larangan pihak kerajaan dalam usaha negara menangani pengurangan jangkitan wabak COVID-19.  

Dipohonkan kepada orang awam agar lebih peka dan mempunyai rasa bertanggungjawab dalam sama-sama memutuskan rangkaian penularan wabak COVID-19 ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI