JUMAAT, 7 Ogos 2020 – Beberapa orang pemandu kenderaan telah diambil tindakan kompaun di atas kesalahan melanggar beberapa peraturan-peraturan di bawah Akta Lalulintas Jalan Raya Penggal 68.
Tindakan diambil adalah hasil daripada operasi sekatan jalanraya yang telah dikendalikan oleh beberapa balai-balai polis di seluruh daerah.
TUTONG – Tidak menampal lesen kenderaan, tayar nampak benang serta lampu brek tidak menyala antara lain kesalahan-kesalahan yang telah ditemui semasa sekatan jalanraya yang telah dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Sekatan yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Alif Nur Khaliq bin Haji Mat Rasil bersama keanggotaan balai telah mengeluarkan 14 tindakan kompaun kepada pemandu-pemandu yang melanggar peraturan.
PANAGA – Sementara itu keanggotaan dari Ibu Pejabat Daerah Polis Belait telah menjalankan sekatan jalan raya di kawasan Lorong 14 Panaga Daerah Belait yang melibatkan 11 orang keanggotaan.
Sekatan yang dijalankan telah membuat pemeriksaan ke atas 20 buah kenderaan dan tidak ada mendapati sebarang pelanggaran Akta Lalulintas Jalan Raya.
BANDAR SERI BEGAWAN – 6 orang pemandu telah diambil tindakan kompaun hasil daripada sekatan jalanraya yang telah dikendalikan oleh keanggotaan Balai Polis Pusat di kawasan Jalan Residency, Bandar Seri Begawan.
Operasi sekatan yang melibatkan seramai 12 orang anggota balai itu juga telah membuat pemeriksaan sekitar 100 buah kenderaan.
MUARA – Di samping itu, Balai Polis Muara turut mengendalikan sekatan jalanraya di kawasan Jalan Muara dan diakhiri tanpa ada penemuan sebarang kesalahan.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa menjalankan sekatan-sekatan seperti ini dalam meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan mematuhi segala peraturan lalulintas di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
