BRUNEI MUARA, Sabtu 9 Mei 2020 – Menguatkuasakan undang-undang merupakan objektif utama di samping menyelitkan elemen-elemen kesedaran terhadap pentingnya menjaga keselamatan semasa pemanduan serta patuh akan perundangan di jalanraya. Berikut merupakan antara lain usaha yang digesa oleh Pihak Polis semasa sekatan-sekatan jalanraya yang telah dijalankan di beberapa kawasan di Daerah Brunei Muara.
Sebanyak dua (2) sekatan jalanraya telah dikendalikan pada minggu ini. Sekatan pertama telah dijalankan oleh keanggotaan daripada Balai Polis Muara seramai 9 orang yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Penolong Penguasa Polis (P/ASP) Hajah Nur Azhani binti Haji Johaiani di kawasan lebuhraya Mentiri.
Antara kesalahan yang ditemukan semasa sekatan tersebut ialah kesalahan melibatkan tidak memiliki lesen memandu serta tayar tidak selamat untuk digunakan (keluar benang). Pemandu-pemandu berkenaan telah dikeluarkan kompaun atas kesalahan di bawah Akta Lalulintas Penggal 68.
Manakala sekatan kedua diselenggarakan oleh keanggotaan Balai Polis Limau Manis yang terdiri daripada 10 orang anggota dan menumpukan di kawasan Jalan Junjongan. Hasil daripada operasi sekatan tidak ada menemukan sebarang kesalahan ataupun yang melanggar sebarang peruntukan undang-undang.
Di samping itu, turut diterapkan semasa pemeriksaan sekatan ialah berupa nasihat kepada para-para pemandu agar patuh terhadap arahan pihak kerajaan berhubung langkah-langkah keselamatan terhadap pandemik wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
PPDB akan sentiasa dan berterusan mengadakan operasi sedemikian dalam usaha untuk membentuk orang ramai agar lebih celik dan peka terhadap peraturan dan keselamatan semasa berada di jalanraya.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
