Khamis , 24 Oktober 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah-Daerah Polis sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani dan sekaligus membanteras sebarang aktiviti-aktiviti jenayah serta apa jua yang berkaitan dengan pelanggaran peruntukan undang-undang di negara ini. 

Antara lain strategi pencegahan jenayah yang aktif dijalankan ialah melalui operasi-operasi sekatan jalanraya. Selain daripada mengesan kesalahan-kesalahan berkaitan lalulintas dan jenayah ianya juga berkesan dalam memberikan pendidikan dan kesedaran terhadap kesemua pengguna akan pentingnya mematuhi akta-akta yang telah diperuntukkan bagi tujuan kebaikan dan kemaslahatan penduduk dan rakyat di negara ini. 

Justeru, beberapa operasi sekatan jalanraya telahpun berjaya dilaksanakan dan menemukan beberapa kesalahan untuk diambil tindakan lanjut mengenainya. 

TUTONG – 5 kesalahan kompoun dikeluarkan kepada pemandu yang melibatkan kesalahan memasang tabir / pelekat cermin , tayar kereta tidak selamat digunakan, tidak menampal cukai jalan serta tidak memakai tali pinggang keselamatan. 

TEMBURONG – Seramai 6 orang anggota terlibat dalam menjalankan operasi sekatan jalanraya di kawasan Jalan Utama berhampiran simpang Kubur Semamang,  Temburong. Hasil daripada sekatan yang dijalankan telah menemukan satu (1) kesalahan lalulintas iaitu kesalahan memasang pelekat cermin gelap. 

BELAIT – Sekatan jalanraya turut dikendalikan bertempat di kawasan Jalan Tengah Seria dan telah mengeluarkan 2 peringatan polis melibatkan lampu plat lesen tidak menyala dan tidak membawa bersama kad pengenalan diri dan lesen memandu. 

BRUNEI MUARA – Operasi sepadu sekatan juga dijalankan oleh agensi-agensi penguatkuasa undang-undang di kawasan Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah melibatkan seramai 55 orang anggota dan ahli. 

Hasil operasi berkenaan satu kesalahan telah dikenal pasti di mana seorang pemandu telah dikeluarkan tindakan kompoun atas kesalahan cukai jalan yang mansuh. 

Operasi sebegini akan sentiasa dijalankan dan pertingkatkan bagi memberikan kesedaran kepada pengguna jalanraya akan kepentingan peraturan lalulintas serta mendidik para pemandu untuk sentiasa peka dengan kondisi kereta iaitu dalam keadaan baik dan selamat untuk dipandu. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI