BELAIT, Sabtu 9 Mei 2020 – Empat (4) Balai Polis beserta penglibatan keanggotaan Ibu Pejabat Polis Daerah Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan operasi sekatan jalanraya secara serentak di kawasan tadahan balai masing-masing pada 9 Mei 2020. 

Operasi yang dijalankan pada sekitar waktu malam tersebut telah mensasarkan parapara pemandu yang tidak mengikuti peraturan lalulintas mahupun melanggar kesalahan-kesalahan yang melibatkan perihal jenayah. 

Hasil daripada sekatan yang dijalankan, Balai Polis Labi dan Kuala Belait tidak ada menemukan sebarang pelanggaran akta-akta kesalahan. Walau bagaimanapun, Balai Polis Sungai Liang telah mengeluarkan tindakan kompaun terhadap seorang pemandu atas kesalahan lampu plat lesen tidak bernyala.  

Di samping itu juga, Balai Polis Panaga telah mendapati dua (2) kesalahan kompaun yang melibatkan kesalahan cukai jalan dan lesen memandu mansuh. Manakala daripada Ibu Pejabat Daerah Polis Belait telah mengambil tindakan ke atas seorang pemandu kerana didapati lesen memandu telah mansuh. 

PPDB sentiasa mengingatkan kepada orang ramai untuk sentiasa menjaga keselamatan dan memastikan jalanraya itu selamat dan selesa untuk digunakan oleh semua pengguna yang melibatkan kenderaan bermotor, penunggang basikal dan pejalan kaki. 

Justeru, peraturan yang diperuntukkan oleh kerajaan hendaklah dipatuhi dan diikuti dengan sebaiknya dalam memastikan masyarakat di negara ini akan sentiasa terjamin dan jauh daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI