BELAIT, Jumaat 29 Mei 2020 – Dalam usaha untuk memastikan para pengguna / pemandu patuh pada undang-undang jalan raya, agensi-agensi penguatkuasa undang-undang seperti Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) tidak ketinggalan bagi mengadakan operasi-operasi sekatan yang kerap di beberapa lokasi yang strategik di negara ini.
Sehubungan dengan itu, pada 25, 26, 27 dan 28 Mei 2020 yang lalu sebanyak empat (4) operasi sekatan jalan raya yang berasingan telah dikendalikan di Daerah Belait oleh Balai Polis Panaga, Balai Polis Labi dan Balai Polis Sg Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Operasi Sekatan Jalan raya tersebut telah dijalankan di kawasan Jalan Tengah Seria, Lorong 14 Panaga, Sungai Bakong serta kawasan Kg Labi.
Seramai 31 orang anggota balai terlibat yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis masing-masing.
Di sepanjang sekatan dijalankan telah mencatatkan sejumlah 119 kenderaan telah diperiksa dan hasil daripada operasi tersebut, dua (2) orang pemandu dikeluarkan kompaun Polis, sebanyak 7 peringatan dan sebanyak 79 “stop and search” telah dibuat.
Tujuan Operasi adalah salah satunya bagi meningkatkan disiplin masyarakat dalam penggunaan lalulintas di jalan raya serta mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan sesama pengguna jalan raya yang lain.
PPDB akan sentiasa memberikan peringatan serta menasihatkan kepada orang ramai supaya akan sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang lalulintas bagi mengelakkan tindakan undang-undang dijalankan ke atas mereka.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
