BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 26 Ogos 2019 – Rondaan pencegahan jenayah Pengawasan Kejiranan (PK) Kg Bunut Perpindahan, Mukim Kilanas bersama keanggotaan Focal Point Balai Polis Pusat dan Balai Polis Kg Ayer telah berhasil menahan seorang wanita yang mencurigakan semasa rondaan dijalankan. 

Semasa pemeriksaan dijalankan oleh pihak polis telah berhasil menemukan beberapa perkakas dipercayai digunakan untuk menghisap dadah. Pihak Biro Kawalan Narkotik kemudian dihubungi bagi tindakan selanjutnya. 

Rondaan PK juga dikendalikan bersama Kg Rimba dan STKRJ Rimba yang menumpukan beberapa persimpangan jalan di kawasan Simpang 337 sehingga Simpang 51. Sepanjang rondaan tidak menemukan sebarang kegiatan-kegiatan yang mencurigakan. 

KUALA BELAIT – Untuk memastikan keamanan dan kestabilan negara tidak akan terjejas akibat kegiatan-kegiatan jenayah di kawasan setempat, seramai 3 anggota dari Balai Polis Kuala Belait bersama 4 orang ahli PK Kg Pandan B telah membuat rondaan pencegahan jenayah di kawasan yang bermula daripada Dewan Kemasyarakatan Kg Pandan sehingga ke bangunan-bangunan komersial dan kawasan persekitaran. 

Dalam pada itu, Balai Polis Seria juga mengendalikan aktiviti rondaan di kawasan persekitaran kampung bersama ahli-ahli PK STKRJ Lorong 3 Seria. Mengetuai rondaan ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Seria, Inspektor Polis Percubaan Boniface Ak Janlita dan turut hadir Ketua Kg Lorong 3 Seria, Yang Mulia Hj Saidin bin Hj Ibrahim serta 7 orang ahli PK. 

Aktiviti rondaan pencegahan jenayah ini adalah salah satu strategi beserta langkah untuk membanteras kegiatan mahupun kejadian jenayah agar dapat dibendung seawal mungkin sebelum ianya menjejaskan kehidupan seharian masyarakat setempat. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI