TUTONG, Khamis 17 Oktober 2024 – Seorang suspek lelaki warganegara tempatan, berjaya ditahan oleh anggota Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dipercayai terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan Kg Lubok Pulau, Tutong pada pagi 17 Oktober 2024.
Tangkapan dibuat adalah hasil dari rondaan Pengawasan Kejiranan (PK) Kampong tersebut yang dijalankan oleh pihak Balai Polis Tutong bersama ahli-ahli PK yang terdiri dari penduduk kampong, dimana mereka menjumpai dua buah kenderaan yang mencurigakan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah mendapati barang-barang yang mencurigakan didalam kenderaan-kenderaan tersebut iaitu peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah. Suspek telah diserahkan kepada pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk siasatan lanjut.
Rondaan PK ini adalah salah satu aktiviti PK yang diungkayahkan dan diketuai oleh setiap balai Polis, bersama masyarakat setempat.
PPDB akan terus memupuk kerjasama bersama untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan untuk semua. PPDB juga menggesa semua penduduk untuk terus berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
