BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 23 Julai 2020 – Sejumlah bungkusan yang mencurigakan telah ditemui diletakkan di dalam kawasan hutan Kg Junjongan, Bandar Seri Begawan semasa rondaan sepadu yang dikendalikan oleh Keanggotaan Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pagi tadi.
Sejurus pemeriksaan dijalankan terhadap bungkusan tersebut dan mengesahkan ianya merupakan bungkusan barang tegahan iaitu rokok jenama era yang dianggarkan berjumlah 275 katon.

Menurut siasatan awal, barangan tegahan itu dipercayai cuba diseludup masuk menggunakan jalan belukar dan hutan bagi mengelak daripada dikesan.
Walau bagaimanapun, dengan operasi sepadu yang kerap dan sentiasa dijalankan ini telah berhasil mematahkan serta menggagalkan banyak percubaan penyeludupan ini.
Barangan tegahan yang ditemui dibawa ke Balai Polis Kg Ayer, PPDB bagi proses penyiasatan awal dan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin memohon kepada orang ramai agar turut memainkan peranan proaktif sebagai telinga dan mata kepada Pasukan Polis Diraja Brunei dengan menyalurkan sebarang maklumat penting agar anasir-anasir jenayah dapat ditangani hingga ke peringkat akar umbi demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
