TEMBURONG, Rabu 26 Februari 2025 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan sebuah kereta yang membawa barang-barang tegahan di jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddin (SHOAS). 

Semasa membuat rondaan pencegahan dan pemantauan jenayah pada waktu malam mengenai sebuah kereta mencurigakan dan disyaki membawa barang yang ditegah, Peronda Balai kemudian dikerahkan untuk menuju ke jambatan SHOAS dan berjaya menemui kereta tersebut yang dalam perjalanan menuju ke Bandar Seri Begawan. 

Hasil dari maklumat tersebut, pihak PPDB telah berjaya menahan minuman keras sebanyak 672 tin serta 50 katon rokok. Pemandu, seorang warga tempatan dan tidak bekerja serta kereta berkenaan ditahan dan seterusnya dibawa ke Balai Polis Bangar untuk tindakan selanjutnya. 

Pihak PPDB ingin mengingatkan orang ramai agar jangan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti jenayah dan melanggar undang-undang negara yang hanya mendatangkan kerugian pada diri sendiri dan keluarga. PPDB akan sentiasa bergiat aktif dalam usaha pembanterasan dan pengekangan terhadap kegiatan-kegiatan penyeludupan barangan tegahan di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI