BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 15 Ogos 2019 – Dua (2) suspek warga tempatan dipercayai terlibat dalam kes curi di beberapa buah cawangan kedai Guardian yang terletak di kawasan Batu Bersurat dan Mata-Mata, Gadong telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 14 Ogos 2019. 

Hasil daripada rakaman litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan telah berjaya mengesan dua (2) orang kelibat suspek masuk ke dalam kedai. Kedua-dua suspek didapati ada mengambil beberapa botol minyak harum serta ubat suplemen lalu meninggalkan kedai tanpa membuat sebarang pembayaran. 

Suspek pertama bernama Muhammad Farik Fadillah bin Panjang berumur 32 tahun dan tidak bekerja manakala suspek kedua Mohammad Faizal bin Dulrahman berumur 33 tahun dan bekerja sebagai seorang penjawat kerajaan. 

Menurut aduan, kejadian tersebut dilaporkan ke Balai Polis Pusat,  Bandar Seri Begawan pada 21 Julai 2019 setelah mendapati ada barang jualan tidak ada dari tempat simpanan dan anggaran kerugian kecurian sebanyak BND$240.10. 

Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 (curi di dalam bangunan). 

Hasil daripada sebutan kes, Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas suspek pertama dengan pemenjaraan selama 10 bulan suspek kedua dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 8 bulan. Pemenjaraan bagi kedua suspek  bermula 3 Ogos 2019 di Penjara Maraburong. 

PPDB menasihati masyarakat awam agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan berwaspada terhadap kegiatan jenayah curi ini serta melaporkan dengan serta merta sebarang aktiviti-aktiviti yang mencurigakan melalui talian kecemasan polis 993 atau salurkan ke balai-balai polis yang berdekatan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI