KUALA BELAIT, Khamis 21 Mac 2019 – Seorang lelaki warganegara tempatan telah ditahan  pada 21 Mac 2019 bagi menjalani siasatan terhadap satu kes pecah masuk sebuah syarikat seraya melakukan curi. 

Kejadian tersebut dilaporkan ke Balai Polis Kuala Belait di mana ianya dipercayai berlaku pada 20 Mac 2019 sekitar waktu tengah malam di kawasan simpang 114 Syarikat Tapak Perindustrian, Jalan Setia Diraja Kuala Belait. 

Siasatan telah dikendalikan oleh keanggotaan Balai Polis Kuala Belait dengan kerjasama Unit Special Duties Ibu Pejabat Daerah Polis Belait yang diketuai oleh Inspektor Ahmad Fuad bin Haji Puteh, Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Kuala Belait. 

Daripada siasatan yang telah dijalankan oleh pihak polis terhadap pekerja-pekerja syarikat berkenaan telah berhasil mengesan salah seorang suspek yang dipercayai terlibat sama dalam kegiatan tersebut. 

Suspek bernama Mahmud bin Mahari berumur 41 tahun merupakan salah seorang daripada pekerja di syarikat tersebut yang telah ditahan setelah di soal siasat.  

Di samping itu, hasil siasatan juga telah berjaya menemukan kembali beberapa barangan bukti yang dipercayai dicuri iaitu satu peti keselamatan berisi wang tunai dan satu set komputer CPU.  

Barang-barang bukti telah berhasil ditemui di beberapa tempat antaranya di kawasan semak berhampiran lebuhraya Seria. 

Pada ketika ini, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk dipohonkan reman bagi membantu mendapatkan barang-barang bukti yang lain serta mengesan rakan-rakan supek. 

Suspek akan menghadapi satu pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 457 (Pecah rumah di waktu malam) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.  

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menyeru dan menasihatkan kepada orang ramai untuk sentiasa memberikan kerjasama dalam memberikan maklumat mengenai kejadian bagi tujuan siasatan yang boleh membuahkan hasil. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI