SENGKURONG, Rabu 3 Jun 2020 – Seorang lelaki warga tempatan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan atas pertuduhan curi dalam bangunan. 

Farid Adilah bin Kamal berumur 27 dipercayai telah memecah masuk ke dalam sebuah rumah di kawasan Kampung Sungai Tampoi pada 25 Mei 2020 yang lalu sekitar jam 3 pagi. Semasa insiden berlaku suspek dipercayai melakukan curi ke atas harta mangsa berupa wang tunai. 

Hasil siasatan pihak Polis, suspek dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa. Suspek didakwa di bawah Seksyen 457 iaitu bersembunyi untuk menceroboh rumah atau memecah rumah di waktu malam, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Pada 3 Jun 2020, Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman kepada tertuduh dengan pemenjaraan selama tempoh 40 bulan dan 2 kali sebatan yang bermula pada tarikh 28 Mei 2020 di Penjara Maraburong. 

Saranan Pihak Polis kepada orang ramai, jika ada mengetahui atau mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti-aktiviti jenayah atau aktiviti yang melanggar undang-undang untuk disarankan agar segera membuat laporan ke balai polis yang berdekatan atau menghubungi talian kecemasan polis 993 atau menghantar perkongsian maklumat melalui laman sesawang www.police.gov.bn atau Instagram @upa.ppdb. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI