BERAKAS, Selasa 7 April 2020 – Satu video yang berdurasi 23 saat telah tular di media sosial memperlihatkan kelibat seorang lelaki warga emas sedang memukul sesuatu bungkusan dipercayai bekas karungan guni dengan menggunakan suatu benda keras.
Lanjutan daripada video itu terdengar seperti suara haiwan dipercayai anjing dalam keadaan melolong berada di dalam karungan guni tersebut.
Ekoran daripada video yang tular itu, satu aduan telah dilaporkan ke Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi dijalankan siasatan ke atas insiden berkenaan.
Daripada siasatan yang dijalankan, lelaki yang memukul berhasil ditemui dan telah memberikan keterangan penuh di balai polis.
Suspek bernama Haji Md Tahir bin Haji Nudin berumur 80 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 7 April 2020 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 428 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.
Hasil sebutan kes, Pihak Mahkamah telah menetapkan bagi perbicaraan selanjutnya dijalankan pada 21 April 2020.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
