GADONG, Selasa, 24 Februari 2026 – Jabatan Siasatan Jenayah telah menerima kunjungan seramai 8 peserta latihan Program UNIKLEARN bersama 9 orang kakitangan yang diketuai oleh Melline binti Haji Jaini, General Manager An-Nur Harapan.
Lawatan sambil belajar ini bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman kepada para pelatih mengenai aspek undang-undang, keselamatan diri serta kepentingan memahami batasan peribadi dalam pergaulan. Para peserta turut didedahkan kepada kesedaran tentang implikasi perbuatan buli serta kepentingan mematuhi undang-undang dan norma masyarakat.



Sepanjang lawatan, para peserta mengikuti sesi taklimat daripada Unit Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak serta Unit Pecah Rumah dan Curi Kereta yang menerangkan peranan unit masing-masing, jenis kes yang dikendalikan serta langkah-langkah pencegahan jenayah yang boleh diamalkan, khususnya dalam kalangan pelajar. Sesi turut disertakan dengan penerangan visual bagi membantu meningkatkan pemahaman peserta.
Diharapkan lawatan seumpama ini dapat memberi manfaat dalam membentuk generasi yang lebih berpengetahuan, berdisiplin dan peka terhadap aspek keselamatan diri serta tanggungjawab sosial.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
