BELAIT, Jumaat 28 Sept 2018 – Program Pendekatan dan Rondaan Pencegahan Jenayah Pengawasan Kejiranan (PK) telah dikendalikan oleh Balai Polis Labi, Belait.

Mengetuai pendekatan dan rondaan pencegahan jenayah tersebut ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Inspektor Mohd Nazmi bin Haji Ismail bersama anggotaanggota Balai yang telah menjalankan program pendekatan dengan membuat kunjungan ke Rumah Panjang Kampong Melilas.

Turut hadir bagi mengikuti kunjungan tersebut Pmk. Penghulu Mukim Melilas, YDM Pehin Datu Pekerma Dewa Awang Haji Muhd Ali bin Abdullah Hitam serta 3 orang ahli-ahli PK Mukim Melilas.

Antara fokus utama pendekatan tersebut diadakan adalah untuk berkongsi maklumat mengenai kejadian-kejadian jenayah yang dilaporkan pada masa ini dan juga peringatan bersama mengenai dengan langkah-langkah mencegah jenayah.

Setelah selesai, program diteruskan dengan rondaan pencegahan jenayah dengan tumpuan dikawasan Bangunan Kerajaan, kawasan pengkalan penurunan perahu serta persekitaran rumah-rumah penduduk Kampong. Di sepanjang rondaan tidak ada menjumpai perkara-perkara yang melibatkan jenayah.

Pendekatan dan rondaan seperti ini akan kerap diteruskan bagi mewujudkan jalinan kerjasama yang baik di antara Pasukan Polis khususnya bersama Penghulupenghulu, Ketua-ketua Kampong dan ahli-ahli Pengawasan Kejiranan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI