BRUNEI MUARA, Khamis 20 Jun – Semangat kunjung mengunjungi di bulan Syawal ini masih diteruskan di keempat-empat daerah, Program Pengawasan Kejiranan (PK) mengadakan kunjungan ke rumah-rumah ketua kampung di bawah tadahan balai masing-masing di antaranya Balai Polis Muara bersama ahli-ahli PK dengan mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Serbaguna Balai Polis Muara.

Hadir bagi sama-sama memeriahkan sambutan itu ialah Yang Berhormat Pg Hj Mohamed Pg Othman @ Osman, Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong. Turut hadir Penguasa Polis Pg Hj Abd Salam Pg Hj Abd  Ghani selaku Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Penolong Penguasa Polis Zamri Salleh Hj Mahmud selaku Pegawai Menguasa Balai Polis Muara dan Inspektor Daniel @ Reynold Chin, Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Muara.

Ini adalah salah satu program pendekatan Pengawasan Kejiranan yang giat dilaksanakan. Dengan adanya usaha kunjung-mengunjungi ini akan meningkatkan lagi kemesraan dan kepercayaan masyarakat terhadap Polis.

Dengan eratnya hubungan silaturahim ini ianya juga akan dapat dijadikan sebagai satu langkah bagi menyatu padukan penduduk-penduduk kampung khasnya dan rakyat Negara Brunei Darussalam amnya dalam proses pembentukan Negara yang aman dan harmoni.

BRUNEI MUARA, Jumaat 21 Jun – Balai Polis Limau Manis melalui program Pengawasan Kejiranan (PK) telah mengadakan aktiviti sosial dan kebajikan iaitu gotong-royong bersama ahli-ahli PK Kampung Bebuloh.

Dengan adanya aktiviti sedemikian, ahli-ahli PK akan berkesempatan untuk berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang perihal keadaan kampung.

Di samping itu, mereka dapat berkenalan antara satu dengan yang lain sekaligus lebih mengenali hati budi jiran mereka dengan lebih dekat dan mahabbah.

Program ini diketuai oleh Koperal 4044 Pg Md Iskandar Shah bin PDP Haji Salim Bersama beberapa orang anggota balai. Mewakili ahli PK, Ketua Kampung Bebuloh, Haji Muhd Sa’id bin Tundak dan lapan (8) orang ahli PK kampung tersebut.

Tumpuan pembersihan dijalankan disekitar Kawasan Sekolah Rendah Kampong Bebuloh. Aktiviti gotong royong ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi tali silaturahim dan kerjasama di antara PPDB dan ahli-ahli PK kampung tersebut dalam memberi keselesaan kepada masyarakat untuk membuat sebarang aktiviti sukan dan riadah setiap hari.

TEMBURONG – Daerah Polis Temburong juga tidak ketinggalan mengadakan kunjungan hari raya ke  kediaman Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Hj Embran bin Hj Sabtu selaku Penghulu Mukim Bokok.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Timbalan Penguasa Polis Pg Muhaimin bin Pg Hj Mustapha. Turut serta dalam kunjungan ini, Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Penolong Penguasa Polis Pengiran Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pengiran Ismail Al-Haj bersama tujuh orang anggota dari Daerah Polis Temburong.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI