BRUNEI MUARA, Sabtu 28 Mac 2020 – Bagi menyahut seruan kerajaan dalam meningkatkan langkah-langkah pembendungan penularan wabak COVID-19 di negara ini, Pihak Kerajaan telah mengeluarkan arahan melalui Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi premis-premis makanan termasuk restoran, kedai makan, kedai minum, kafe, food court, gerai makan dan seumpamanya tidak dibenarkan untuk menyajikan makanan dan hanya dibenarkan untuk menyediakan makanan untuk dibawa pulang sahaja (takeaway) yang telah berkuatkuasa bermula 19 Mac 2020 yang lalu sehingga ke suatu masa yang akan dimaklumkan kemudian.
Walau bagimanapun, arahan tersebut didapati telah diabaikan dan ingkari oleh sebuah pemilik kedai makan yang menyajikan perkhidmatan ‘dine in’ di sebuah bangunan flat di kawasan Kg Mabohai, Bandar Seri Begawan.


Berikutan maklumat yang diperolehi, keanggotaan Balai Polis Pusat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan penyiasatan dan membuat penahanan ke atas seorang pemilik kedai makan bagi dijalankan siasatan lanjut.
Suspek seorang perempuan bernama Ting Siew Kiing, warganegara tempatan dan berumur 62 tahun. Kedai makan tersebut merupakan milik beliau dan telah beroperasi sejak 20 tahun lalu.
Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 69 Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Hasil daripada sebutan kes, tertuduh telah mengaku bersalah dan Pihak Mahkamah menjatuhi hukuman denda sebanyak BND5,000 dan jika gagal membuat pembayaran sebelum 30 Mac 2020 akan dihukum penjara selama sebulan.
PPDB ingin menegaskan kepada orang ramai terutama sekali pemilik-pemilik kedai agar akur dan patuh akan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan kerana ianya adalah bertujuan bagi memastikan kemaslahatan penduduk negara sentiasa terjamin dalam usaha negara membendung sepenuhnya penularan wabak COVID-19.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
