TUTONG, Isnin 1 Oktober 2018 – Kegiatan Perjudian berjaya terbongkar dalam satu Operasi Serbuan yang dikendalikan oleh Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei.
Serbuan telah di jalankan di alamat No. 4, PWD 80, Spg. 184-9A, Jalan Sungai Basong dan telah mendapati kegiatan perjudian Katam-katam sedang dijalankan.

Seramai 10 orang suspek lelaki, 3 orang suspek wanita telah ditahan yang melibatkan 11 warga tempatan dan 2 orang warganegara Indonesia yang berusia sekitar lingkungan 30 ke 65 tahun.
Pihak Polis juga menjumpai peralatan-peralatan yang digunakan untuk kegiatan judi jenis katam-katam termasuk kain katam, penyimpanan buah dadu (Kong) bersama dadunya , beberapa set daun terup dan sejumlah wang tunai yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian tersebut.
Kesemua suspek dan barang-barang rampasan dibawa ke Daerah Polis Tutong untuk siasatan selanjut dan kes di siasat dibawah Akta Rumah Judi Terbuka, Penggal 28.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei mengalu-alukan sokongan yang tunjukkan oleh masyarakat awam dalam membantu pihak polis membasmi kegiatan jenayah di kawasan kampong setempat dengan menyalurkan maklumat yang membolehkan tindakan dibuat sewajarnya.
Disamping itu, sesiapa yang mengetahui atau mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang disarankan supaya melaporkannya di balai polis terdekat atau menghubungi terus melalui telefon ke balai polis atau talian 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
