BELAIT, Rabu 27 Februari 2019 – Pada 25 Februari 2019, Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei telah menerima satu laporan berkenaan beberapa pesanan ringkas yang telah tular melalui aplikasi ‘Whatsapp’, dimana isi pesanan ringkas tersebut mengandungi ayat-ayat yang mengaibkan Pasukan Polis Diraja Brunei. 

Berikutan dengan laporan tersebut pada 26 Februari 2019, keanggotaan Daerah Polis Belait telah berjaya menahan seorang suspek wanita dipercayai terlibat dengan kejadian berkenaan. Suspek tersebut dibawa ke Balai Polis Kuala Belait untuk dijalankan siasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan orang awam bahawa mana-mana perkataan secara lisan ataupun bertulis yang berunsur penghasutan dan penghinaan terutamanya terhadap tugas tugas yang dijalankan oleh Penjawat Kerajaan adalah merupakan kesalahan yang sangat serius dan akan diambil tindakan tindakan sewajarnya. Jika sabit kesalahan pelaku atau tertuduh boleh didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan Penggal 24 yang membawa denda tidak melebihi $5000 dan pemenjaraan tidak melebihi 2 tahun. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI