BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 28 Ogos 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Sg Liang telah menghadapkan seorang suspek ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan kerana dipercayai terlibat dalam kes tipu dan penggubahan wang haram yang dilakukan melalui urusniaga talian perbankan.
Kejadian berlaku di mana suspek cuba menjual satu gearbox kereta dan 2 tong gas kepada mangsa dan memperdayakannya untuk membayar wang pendahuluan melalui talian perbankan. Seterusnya suspek telah menggunakan wang yang diterimanya dan ditukarkan kepada ‘token’ bagi kegunaan permainan dalam talian (online gaming).
Seorang suspek lelaki telah berjaya ditahan bernama Muhammad Izwan Zulhasree Bin Muhammad Aliyas warganegara tempatan berumur 21 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Pendakwaan dijalankan oleh DPP Dk Didi Noraza Binti Pg Hj Abd Latif dihadapan Majistret Hjh Ervy Sufitriana binti Hj Abd Rahman.
Tertuduh mengaku bersalah dan direman dipenjara Maraburong sementara menunggu jatuh hukuman pada 31hb Ogos 2019.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan Seksyen 3 (1)(b) Perintah Pemulihan Aset Jenayah, 2012.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan orang ramai agar meningkatkan lagi kewaspadaan dan lebih berhati-hati terutama membuat urusniaga melalui talian. Tawaran-tawaran yang menarik dan jauh lebih murah banyak diiklankan melalui platform di beberapa laman sesawang. Wang pendahuluan diperlukan dan disini bermulanya amanah dan kepercayaan masing-masing.
Dinasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah yang menyalahi undang-undang di negara ini dan PPDB juga akan berusaha memantau dan seterusnya mengambil tindakan pada setiap kegiatan jenayah yang dilakukan untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
