BRUNEI MUARA, Ahad 19 Mei 2019 – Berikutan dengan maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan, Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat bersama Unit Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menumpaskan aktiviti perjudian sabung ayam yang dijalankan di kawasan rumah kediaman di alamat Spg 316-10, Kg Jerudong, Daerah Brunei dan Muara.
Serbuan yang dijalankan pada petang 19 Mei 2019 itu telah menahan seramai 19 orang suspek terdiri daripada 5 warganegara tempatan, seorang (1) penduduk tetap dan 13 warganegara asing.
Turut dirampas ialah sejumlah ayam yang dipercayai digunakan bagi pertaruhan sabung. Kesemua suspek dan barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk dijalankan siasatan lanjut.
Lokasi yang dijadikan sebagai lubuk perjudian terletak diluar kawasan halaman rumah kediaman di mana kedudukan rumah juga tertutup oleh timbunan pokok tanaman.
Pertuduhan terhadap kesemua suspek dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Perjudian Penggal 28 iaitu bermain di rumah perjudian yang mana boleh dihukum denda $10,000 dan 6 bulan penjara.
Manakala pemilik rumah akan berdepan dengan kesalahan mengikut Seksyen 4 (a) Akta Rumah Perjudian Penggal 28 yang mana boleh dihukum denda $20,000 dan 12 bulan Penjara.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa berterusan menjalankan pemantauan dan risikan dalam objektif utama untuk menangani serta membanteras sebarang aktiviti-aktiviti yang melanggar akta perundangan di negara ini.
Pasukan Polis Diraja Brunei juga berharap bantuan orang ramai untuk menyalurkan apa jua maklumat yang berunsur kegiatan jenayah melalui talian kecemasan polis 993 atau melaporkan ke Balai-balai Polis yang berdekatan.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
