TUTONG, Ahad 3 Mac 2019 – Berikutan hasil daripada risikan yang dijalankan, Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menumpaskan aktiviti perjudian sabung ayam selepas membuat serbuan di alamat No.2, Spg 592, Kg Bukit Guayan, Jln Sungai Damit, Mukim Ukong.
Serbuan yang dijalankan pada petang 3 Mac 2019 itu telah menahan seramai 16 orang suspek terdiri daripada 13 warganegara tempatan dan 3 penduduk tetap. Turut dirampas ialah beberapa ekor ayam, sejumlah taji ayam yang dpercayai digunakan bagi perjudian tersebut. Kesemua suspek dan barang bukti dibawa ke Balai Polis Tutong untuk dijalankan siasatan lanjut.
Kawasan yang digunakan sebagai gelanggang sabung ayam dipercayai dijadikan lokasi perjudian berikutan kedudukannya yang agak terpencil dan tersembunyi.
Pertuduhan terhadap suspek-suspek dikemukakan mengikut seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Penggal 28 iaitu bermain di rumah perjudian yang mana boleh dihukum denda $10,000 dan 6 bulan penjara.
Manakala pemilik rumah dikemukakan mengikut seksyen 4(a) Akta Rumah Perjudian Penggal 28 yang mana boleh dihukum denda $20,000 dan 12 bulan Penjara.
Pasukan Polis Diraja Brunei berharap orang ramai yang ada maklumat tentang mana-mana aktiviti yang menyalahi undang-undang di Negara ini untuk terus berhubung ke Balai Polis berdekatan atau melalui talian hotline 993.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
