BRUNEI MUARA, Khamis 7 Mei 2020 – Di Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) tidak ketinggalan dalam melaksanakan aktiviti berkebajikan iaitu dengan memberikan sumbangan serta derma kepada anak-anak yatim PPDB. 

Sumbangan ini merupakan acara tahunan dan pada tahun ini juga ianya diselengarakan sepenuhnya oleh Daerah-Daerah Polis PPDB di ke-empat daerah bersama Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI). 

Pada hari ini, Daerah Polis Brunei Muara dan Daerah Polis Belait PPDB telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada 22 buah keluarga bagi tadahan di kawasan Daerah Brunei Muara dan 16 buah keluarga bagi Daerah Belait. 

Penyerahan bagi anak-anak yatim PPDB di Daerah Brunei Muara disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Penguasa Polis (Supt) Pengiran Muhaimin bin Pengiran Haji Mustapha beserta Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Pemangku Penguasa Polis (Supt) Hajah Maryani bte Haji Abdul Wahab. 

Manakala di Daerah Belait disampaikan oleh Penguasa Polis (Supt) Handrie bin Hj Amin, Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait dan Timbalan Penguasa Polis (DSP) Abu Naba’a bin Pg Hj Yusof, Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait. 

Diharapkan dengan sumbangan-sumbangan yang diberikan akan mendatangkan keredaan serta kebaikan di samping meraih pahala yang berlipat ganda bersempena di Bulan Ramadhan ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI