BRUNEI MUARA, Selasa 5 Nov 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berhasil menumpaskan kegiatan kes curi kereta dan pecah rumah bersiri melibatkan 5 orang suspek warganegara tempatan. 

Kesemua tangkapan tersebut adalah hasil strategi pemantauan dan kolaborasi daripada keanggotaan Daerah Polis Brunei Muara, Daerah Polis Belait dan Daerah Polis Tutong PPDB di beberapa lokasi di negara ini. 

Dengan tertangkapnya 5 orang suspek ini, Pihak Polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak 35 kertas siasatan yang telah dilaporkan berlaku di kawasan Bandar Seri Begawan, Berakas, Sengkurong, Muara, Limau Manis, Tutong, Sungai Liang dan Kuala Belait untuk dihadapkan ke Pihak Mahkamah bagi perbicaraan dan hukuman sewajarnya. 

Di samping itu, turut ditemui juga beberapa barangan rampasan seperti kenderaan dan harta benda berkisar dengan laporan-laporan aduan ke balai-balai di seluruh negara. 

Suspek-suspek yang terlibat : 

1- Harun bin Matusin , 32 tahun, tidak bekerja. 

2- Awangku Haji Radiman bin Pengiran Rahiman, 31 tahun, tidak bekerja. 

3- Muhammad Shariffudin bin Abd Manaf, 29 tahun, tidak bekerja. 4- Md Zulkarnain bin Abd Manaf, 30 tahun, tidak bekerja. 

5- Md Khairul Shamry bin Mahali, 35 tahun, tidak bekerja. 

Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 2 November 2019 bagi permohonan reman dan Pihak Mahkamah telah meluluskan permohonan selama dua (2) minggu sehingga 16 November 2019 bagi Pihak Polis menjalankan siasatan lanjut dan melengkapkan lagi kertas penyiasatan. 

PPDB akan sentiasa berusaha dalam menjalankan pemantauan, menjejak dan mengesan sebarang kegiatan-kegiatan jenayah di samping membuat penangkapan ke atas penjenayah-penjenayah yang berhasrat untuk mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan di Negara Brunei Darussalam. 

Sokongan masyarakat adalah diharapkan agar sentiasa berterusan memberikan kerjasama dalam kepercayaan serta perkongsian maklumat bagi memastikan negara ini bebas daripada segala bentuk aktiviti negatif dan gejala-gejala jenayah. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI