TUTONG, Isnin 20 Mei 2019 – Beberapa balai Polis melaksanakan program pendekatan dan rondaan pencegahan jenayah Pengawasan Kejiranan (PK) bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kawasan kejiranan masing-masing di seluruh daerah. 

Balai Polis Lamunin bersama Focal Point PK yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Zulfadli bin Haji Awang Yusof membuat pendekatan ke rumah Pemangku Ketua Kg Batang Mitus, Yang Mulia Suhaili bin Ubas.  

Turut hadir 7 orang ahli PK Batang Mitus dan diteruskan dengan rondaan pencegahan jenayah secara berjalan kaki di sekitar kawasan Kg Batang Mitus. 

Manakala Focal Point PK Balai Polis Tutong bersama Inspektor Ahmad Faez bin Haji Md Hani selaku Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong mengetuai pendekatan ke rumah Pemangku Ketua Kg Bukit Udal, Yang Mulia Awg Muhd Azmi bin Muhd Yusuf. 

Dalam perisian pendekatan tersebut mengongsikan maklumat mengenai trend jenayah terkini serta membincangkan mengenai isu permasalahan penduduk sekitar Kg Bukit Udal. 

TEMBURONG – Dua pendekatan dikendalikan oleh Focal Point PK Balai Polis Temburong bersama Pemangku Ketua Kampung Sumbiling, Yang Mulia Awang Haji Suhaili bin Haji Badas dan Pemangku Ketua Kampung Batu Apoi, Yang Mulia Awang Haji Daud bin Haji Masri. 

Tujuan perjumpaan adalah bagi mengeratkan silaturahim antara masyarakat dan pihak Polis, juga membincangkan mengenai penyerahan sijil lantikan bagi ahli PK yang baru dilantik di kampung tersebut. 

BERAKAS – Rondaan pencegahan dan pemantauan jenayah digerakkan oleh Focal Point PK Balai Polis Berakas diketuai oleh Staff Sarjan 3607 Rossam bin Haji Draman bersama seorang ahli PK Kawasan 3, RPN Kg Lambak Kanan. 

Rondaan dibuat secara berjalan kaki di sekitar kawasan letak kereta masjid-masjid di bawah jagaan Balai Polis Berakas. 

SG LIANG – Focal Point PK Balai Polis Sg Liang, Sarjan 3392 Jailani bin Haji Johari menjalankan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli PK Kg Sg Liang. 

Juga hadir Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Yang Mulia Hj Mohd Ibrahim bin DMS Dian dan 4 orang ahli PK. 

Sepanjang rondaan yang dibuat di sekitar Jln Pantai Sg Liang, Jln Kg Kuluyoh dan Jln Tunggulian tidak ada menjumpai sebarang kejadian jenayah mahupun kegiatan yang mencurigakan berlaku. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI