Khamis, 31 Oktober 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan beberapa Operasi Sekatan Jalanraya yang dijalankan di beberapa lokasi di negara ini bertujuan untuk menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas pemandu-pemandu kenderaan beserta pencegahan jenayah.
TEMBURONG – Seramai 7 orang anggota dari Ibu Pejabat Daerah Polis Temburong telah dikerah bagi melaksanakan operasi sekatan jalanraya dikawasan Jalan Puni, berdekatan Balai Raya Kg Puni, Temburong.
Operasi yang dijalankan pada sekitar waktu petang itu tidak ada menemukan sebarang kesalahan lalulintas mahupun yang melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah.
TUTONG – Operasi yang sama juga dikendalikan oleh keanggotaan Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong bersama Balai Polis Tutong. Seramai 19 orang anggota yang di ketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani.
Sekatan jalanraya yang dijalankan selama 3 jam itu bertempat di kawasan Jalan Enche Awang, Tutong dan telah mengeluarkan lima (5) kesalahan kompaun kepada pemandu-pemandu yang telah didapati melanggar akta dan peraturan lalulintas.
LAMUNIN – Sebanyak 5 buah kenderaan telah dijalankan pemeriksaan oleh keanggotaan Balai Polis Lamunin kerana didapati telah melanggar akta kesalahan lalulintas hasil daripada operasi sekatan jalanraya yang dijalankan di kawasan Bukit Barun, Jalan Lamunin Tutong.
Mengetuai operasi berkenaan, Inspektor Muhd Zulfadli bin Haji Awang Yusof , Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin beserta 12 keanggotaan balai. Beberapa kesalahan telah ditemui seperti kesalahan memasang tabir dan pelekat plastik filem beserta lesen memandu mansuh.
PPDB ingin menasihati kepada pengguna-pengguna jalanraya akan sentiasa patuh dan akur dengan peraturan-peraturan berkaitan lalulintas yang telah ditetapkan di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
