GADONG, Isnin 20 Mei 2019 – Bersempena dengan Bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, berbagai ibadah  dilakukan berlandaskan kemasyarakatan dan kebajikan dalam tujuan untuk merebut peluang memperlipatkan lagi pahala dalam mendekatkan diri kepada Allah. 

Antara lain amalan dan aktiviti kebajikan yang diungkayahkan di sepanjang bulan ini ialah memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan juga kepada yang memerlukan. 

Sehubungan dengan itu, seramai 114 orang anak-anak yatim warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima sumbangan derma di majlis yang berlangsung di dewan Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Tetamu kehormat bagi menyampaikan derma-derma tersebut ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam bersama isteri Datin Hajah Kamariah binti Haji Abdul Hamid. 

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali beserta pengiran datin, para pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai, anggota dan kakitangan awam PPDB beserta jemputan khas pegawai-pegawai daripada Takaful Brunei Darussalam. 

Majlis ini merupakan acara 3 dalam 1 iaitu Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim, Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Anak-Anak Polis dan Majlis Penyampaian Cek Insuran Takaful Kemalangan Diri Berkelompok. 

Majlis ini juga merupakan acara tahunan yang menyatukan rangkaian kerjasama daripada Jabatan Pentadbiran Am dan Kewangan bersama Persatuan Perkumpulan Isteri-Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) melalui tadbir urus Bahagian Audit Dalaman Tatatertib, Kebajikan dan Kaunseling. 

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh APO Sarjan 6472 Mohamad Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Polis Gadong. 

Seterusnya ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis, Yang Mulia Penguasa Kanan Polis, (Snr Supt) Haji Zaini Bin Haji Abd Rahim dan acara kemudian diteruskan dengan penyampaian derma kepada anak-anak Yatim dan diakhiri dengan bacaan doa selamat. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI