BRUNEI DAN MUARA, Khamis 7 Mac 2019 – Berikutan kes rompakan yang berlaku di kawasan Jalan Kerakas Payau, Kg Kupang Daerah Tutong pada 6 Mac 2019 yang lalu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengerahkan semua keanggotaan di kesemua Balai-Balai di ke empat daerah bagi pencarian terhadap penjenayah yang terlibat dengan kejadian berkenaan.
Sehubungan dengan itu, Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah telah di arahkan bagi mengetuai siasatan ini dan telah berjaya menahan dua (2) orang suspek yang dipercayai terlibat dalam masa lebih kurang 12 jam daripada tarikh ianya dilaporkan.
Hasil siasatan juga telah berjaya menemukan bahan bukti iaitu kenderaan yang dicuri diletakkan di suatu tempat terpencil di kawasan Kg Kuala Lurah dalam keadaan tidak boleh digunakan lagi dipercayai dibakar.
Suspek pertama adalah seorang warganegara tempatan bernama Shambri bin Hj Tunjul, berumur 41 tahun, berasal daripada Kg Limau Manis dan tidak mempunyai pekerjaan.
Suspek kedua, warganegara tempatan bernama Mazlan bin Tali, berumur 40 tahun berasal daripada Kg Maraburong, Daerah Tutong dan tidak mempunyai pekerjaan.
Kedua-dua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini 7 Mac 2019 atas pertuduhan di bawah Seksyen 391 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Rompakan secara berkumpulan dan jika sabit kesalahan boleh di dakwa dibawah seksyen 395 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pihak Mahkamah telah meluluskan bagi kedua-dua suspek ditahan reman sehingga perbicaraan selanjutnya pada 21 Mac 2019.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
