BRUNEI MUARA, Jumaat 13 Mac 2020 – 4 warganegara Brunei telah pun berhasil ditemui dan diserahkan ke Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam susulan permohonan bantuan pencarian kepada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa sidang media semalam.
Perkara ini diperjelaskan semasa sesi soal jawab bersama Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar di sidang media berkenaan mengenai status terkini jangkitan COVID-19 yang telah berlangsung pada 12 Mac 2020 di mana Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam sedang menjejaki 4 warganegara tempatan yang terlibat dalam menghadiri perkumpulan keagamaan, tabligh di Kuala Lumpur, Malaysia yang belum lagi tampil untuk menjalankan pemeriksaan serta ujian COVID-19 dan memohon bantuan pihak Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) untuk menjejaki 4 warga tersebut.
Di samping itu, PPDB ingin menegaskan lagi mengenai tindakan undang-undang akan dijalankan terhadap sebarang individu yang gagal melaporkan diri sepertimana yang diperuntukan di bawah Seksyen 62(2) Akta Penyakit Berjangkit iaitu jika sabit kesalahan, boleh membawa denda sehingga $10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali (kesalahan pertama) manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, jika sabit kesalahan boleh membawa denda sehingga $20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
